UNDANG-UNDANG SYARIKAT
ISI KANDUNGAN
1.0 PENGENALAN
Apabila disebut perkataan 'kontrak' ada pihak yang hanya membayangkan
satu bentuk dokumen bercetak yang mengandungi peruntukan-peruntukan tertentu
serta perlu ditandatangani dan disaksikan dengan sempurna. Mereka membayangkan
kontrak sebagai sesuatu yang tiada kaitan rapat dengan kehidupan mereka, bahkan
ia adalah sesuatu yang jarang-jarang dilakukan. Mereka melihat bahawa urusan
kontrak adalah urusan peguam-peguam yang tidak perlu diendahkan oleh orang
awam.
Pandangan ini sebenarnya adalah bahaya kerana implikasi kontrak dalam
kehidupan seharian adalah sangat penting dan perlu diambil tahu. Antara prinsip
asas yang perlu diketahui ialah kontrak merupakan perjanjian yang dilakukan oleh
dua orang atau lebih daripada itu. Kontrak juga terikat dengan undang-undang.
Kebiasaannya, kontrak akan ditulis. Selain dari itu juga, kontrak ada di dalam
bentuk percakapan atau tersirat. Sebagai contoh, kontrak dengan pekerjaan, penjualan,
pajakan atau penyewaan. Contoh lain, kontrak pengurusan artis adalah perjanjian
yang telah dibuat secara rasmi oleh artis dan pengurus artis bagi bekerjasama
dan memulakan perniagaan mereka.
Merujuk kepada seksyen 2(h) Akta Kontrak 1950 maksud kontrak ialah
perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang. Ia adalah perjanjian
yang akan mengikat pihak-pihak yang berkontrak. Jika ada pihak yang tidak
menepati perjanjian ini, maka pihak lain boleh dan berhak mengambil tindakan
undang-undang.
Dalatm kata lain, kontrak bermaksud perjanjian antara pembuat janji dan
penerima janji dengan balasan yang sah. Kontrak mesti melibatkan lebih dari
satu pihak dan mesti terdapat persetujuan bersama walaupun persetujuan itu
ditunjukkan secara tindakan. Kontrak yang sah dibuat dengan balasan iaitu perkara
yang dikontrakkan serta mesti disertai dengan niat bahawa urusan itu berbentuk
komersil atau untuk keuntungan.
Perkaitan antara pihak-pihak yang berkontrak dinamakan hubungan kontrak.
Hubungan ini wujud bermula dari tarikh
bermulannya kontrak hingga ia berkahir melalui pelaksanaan, pecah
kontrak atau sebagainya. Selama hubungan ini wujud, pihak-pihak yang berkontrak
mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan kontrak dan mereka juga mempunyai
hak untuk menguatkuasakannya di mahkamah.
Untuk memberi pemahaman yang lebih jelas dan terperinci, tugasan ini
akan membincangkan dan menilai keesahan sebuah kontrak di bawah undang-undang
Malaysia. Di samping itu, tugasan ini juga akan membincangkan remedi-remedi
yang ada bagi pihak yang tidak bersalah dalam sebuah kontrak mengikut
undang-undang yang sedia ada di Malaysia.
2.0 ELEMEN-ELEMEN BAGI SEBUAH KONTRAK YANG SAH
Kontrak pada dasarnya dikuatkuasakan melalui Akta Kontrak 1950. Kontrak
adalah perjanjian yang dimeterai oleh dua, atau lebih individu yang mana kedua-duanya
akan terikat pada perjanjian tersebut. Contohnya, kontrak jual beli barang,
kontrak sewa beli dan pelbagai lagi.
Secara ringkasnya, terdapat tujuh (7) elemen penting yang perlu diambil
kira oleh setiap individu sebelum bersetuju dengan mana-mana perjanjian yang
ditawarkan. Elemen-elemen ini menentukan samada sesebuah kontrak itu sah dan
boleh dikuatkuasakan.
Pada bahagian ini, tugasan ini akan mengupas secara terperinci kesemua
elemen-elemen yang mesti disemak oleh setiap individu sebelum bersetuju
mengikat perjanjian secara sah. Gambarajah 1 menunjukkan elemen-elemen
tersebut. Perlu diingat yang bahawa kesemua elemen ini mestilah dipenuhi secara
serentak.
Gambar Rajah 1:
Elemen-elemen dalam sesebuah kontrak yang sah
2.1 Tawaran (Offer)
Sebagaimana yang kita sedia maklum, sebelum adanya Akta
Kontrak 1950, kita merujuk kepada Undang-Undang Inggeris. Istilah ‘tawaran’
digunakan dalam Undang-Undang Inggeris, manakala istilah ‘cadangan’ pula
digunakan untuk Akta Kontrak 1950.
Seksyen 2(h) Akta Kontrak 1950 telah mendefinisikan kontrak
sebagai suatu perjanjian, yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang yang
mana kontrak ini, akan mengikat pihak-pihak yang terlibat secara sah.
Syarat bagi sesuatu tawaran itu adalah ia mestilah sesuatu
tawaran yang jelas, dan dikomunikasikan kepada pihak yang akan membuat
penerimaan kepada tawaran tersebut.
Jika tawaran yang diberikan tidak jelas, atau tidak
dikomunikasikan kepada pihak yang berkenaan, ia adalah batal.
Oleh yang demikian, ‘offer’
atau tawaran itu sangat penting untuk menjadikan kontrak itu sah, dan mengikat
kedua-dua pihak. Tanpa tawaran, tidak akan ada jalinan kontrak yang sah antara
kedua-duanya.
2.2 Penerimaan (Acceptance)
Jika dirujuk pada Seksyen 2(b) Akta kontrak 1950, penerimaan
ini didefinisikan sebagai persetujuan atau penerimaan kepada tawaran yang telah
ditawarkan sebelum ini.
Setuju ini membawa maksud bahawa penerima tawaran ini akan
turut bersetuju dengan syarat-syarat dan terma-terma yang telah ditetapkan.
Dengan adanya penerimaan tawaran ini, maka sesebuah kontrak itu berjaya
diwujudkan.
2.3 Balasan (Consideration)
Untuk menjadikan kontrak itu adalah kontrak yang sah di sisi
undang-undang, elemen ketiga ini tidak kurang pentingnya. Tanpa balasan,
perjanjian yang dibuat adalah batal. Balasan yang dimaksudkan di sini adalah
harga yang dibayarkan oleh pihak yang menerima janji kepada pihak pembuat
janji.
Dalam Akta Kontrak 1950, Seksyen 2 (d) ada menyebut tentang
balasan janji tersebut. Oleh yang demikian, pihak yang membuat kontrak mestilah
mempunyai balasan masing-masing.
Sebagai contoh, satu pihak mendapat sebuah rumah, dan satu
pihak yang lain mendapat sejumlah wang sebagai bayaran pada harga yang telah
dipersetujui oleh kedua-duanya.
2.4 Keupayaan (Capacity)
Dalam Akta Kontrak 1950, Seksyen 11 turut menyentuh perkara
berkait dengan keupayaan ataupun kelayakan seseorang. Hakikatnya, hanya mereka
yang dewasa, sempurna akal dan tidak dihalang oleh mana-mana undang-undang
sahaja yang layak untuk membuat kontrak.
Seseorang itu ditakrifkan sebagai dewasa apabila mencapai
usia dewasa iaitu 18 tahun. Oleh yang demikian, mereka yang berumur di bawah 18
tahun adalah tidak layak untuk membuat kontrak, kecuali dalam kes-kes tertentu
sahaja.
Sebagai contoh, kontrak untuk keperluan atau insurans dan
juga biasiswa adalah sah jika kanak-kanak yang melaksanakan kontrak tersebut.
Secara mudahnya, bagi yang muflis, tidak waras atau gila
atau dibawah umur dewasa adalah tidak layak dan tidak berhak sama sekali untuk
terlibat dalam mana-mana urusan kontrak.
2.5 Niat (Intention)
Niat atau kehendak ini terbahagi kepada dua iaitu bagi
kontrak yang melibatkan perjanjian perniagaan dan perjanjian domestik, keluarga
dan sosial.
Andaian yang dibuat, jika kontrak itu melibatkan urusan
perniagaannya, pihak-pihak yang terbabit dikatakan mempunyai niat untuk membuat
perjanjian, dan mengikat mereka secara sah.
Walaubagaimanapun masih boleh disangkal jika mempunyai bukti
yang jelas dan kukuh.
Bagi perjanjian melibatkan domestik, keluarga dan sosial
pula andaian mengatakan bahawa pihak-pihak yang terlibat tidak diniatkan untuk
mengikat dan mempunyai hubungan yang mengikat secara sah disisi undang-undang.
Sebagai contoh, sekiranya pihak suami berjanji dengan pihak
isteri secara lisan untuk menghadiahkan isteri pakej percutian, namun si suami
gagal berbuat demikian, si isteri tidak berhak membuat tuntutan undang-undang.
Namun begitu, jika janji itu direkodkan atau ditulis pada
sekeping kertas, perjanjian itu boleh dikuatkuasakan kerana kedua-dua pihak
dikatakan berniat untuk menghasilkan sesuatu perjanjian yang mengikat
kedua-duanya secara sah.
2.6 Kepastian (Certainty)
Kepastian adalah salah satu elemen yang penting dalam
sesebuah kontrak. Perjanjian-perjanjian yang mempunyai unsur ketidakpastian,
kabur, tidak jelas, atau mengelirukan adalah batal dan tidak akan mengikat
mana-mana pihak-pihak yang terbabit.
Jika kontrak itu mempunyai elemen yang tidak dapat
dipastikan sama ada perjanjian itu mencapai syarat utama perjanjian atau tidak,
kontrak itu itu juga boleh terbatal sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen
30, Akta Kontrak 1950.
2.7 Kerelaan (Free Consent)
Semua pihak yang terlibat mestilah mempunyai kerelaan secara
bebas. Ini adalah kerana kesahan kontrak ini boleh dipertikaikan, jika
persetujuan pihak-pihak yang terlibat dalam kontrak ini diterima secara paksa
dan tanpa rela.
Akhir kata, setiap pihak yang terlibat dalam mana-mana
perjanjian mahupun kontrak mestilah mengambil tahu akan kepentingan tujuh eleman
dalam kesahan untuk membuat kontrak ini. Jika satu elemen hilang, kontrak itu
boleh dipertikaikan dan mungkin terbatal kelak.
3.0 PERBINCANGAN SEKSYEN 14 AKTA KONTRAK
Dalam bahagian ini tugasan ini akan membincangkan contoh-contoh kontrak
yang melibatkan tiga daripada faktor-faktor di bawah Seksyen 14 Akta Kontrak
1950. Menurut seksyen tersebut terdapat lima faktor bagi mengesahkan sesebuah
kontrak yang mana "Kerelaan yang dikatakan bebas sekiranya tidak
disebabkan oleh...":
i.
Paksaan
ii.
Di bawah pengaruh
iii.
Kesilapan
iv.
Salah Wakil
v.
Penipuan
Kerelaan bebas adalah persetujuan yang diberikan dengan
sempurna tanpa dicemari dengan perkara-perkara yang menjejaskan kerelaan.
Seksyen 14 menyenaraikan perkara-perkara yang menjejaskan kerelaan iaitu:
a)
paksaan iaitu melakukan apa-apa perbuatan atau
mengancam untuk melakukan perbuatan seperti membunuh atau mencederakan, atau
menahan secara tidak sah atau mengancam untuk menahan, apa-apa harta, dengan
memudaratkan sesiapa jua, dengan niat menyebabkan seseorang membuat sesuatu
perjanjian. Paksaan diperuntukkan dalam seksyen 15 dan 19.
b)
pengaruh tak wajar iaitu satu bentuk penggunaan
kesempatan oleh seseorang yang dominan ke atas orang yang lebih lemah untuk
mendapat keuntungan secara tidak sah melalui kontrak. Pengaruh diperuntukkan
dalam seksyen 16 dan 20.
c)
Fraud iaitu pernyataan tidak benar berkenaan
fakta yang lepas atau yang sedang berlaku, dan dibuat oleh satu pihak sebelum
atau pada waktu kontrak diikat, dan ditujukan kepada pihak lain yang
mempengaruhi pihak yang lain itu untuk melakukan kontrak. Fraud diperuntukkan
dalam seksyen 17 dan 19.
d)
Salahnyata iaitu pernyataan palsu yang dibuat
oleh pihak yang menyangka bahawa kenyataannya benar. Salahnyata diperuntukkan
di bawah seksyen 18 dan 19.
e)
Silap iaitu iaitu kedua-dua pihak silap menegnai
perkara asas kontrak.
Bagi tujuan tugasan ini, bahagian ini akan membincangkan tiga dari lima
faktor tersebut seperti yang ditunjukkan di gambar rajah 2 di bawah.
Gambar Rajah 2: Faktor yang menyebabkan sesebuah
kontrak terbatal.
3.1 Paksaan
Paksaan ditakrifkan dalam seksyen 15 sebagai melakukan
apa-apa perbuatan atau mengancam untuk melakukan apa-apa perbuatan yang
dilarang oleh Kanun Keseksaan seperti membunuh atau mencederakan, atau menahan
secara tidak sah atau mengancam untuk menahan, apa-apa harta, dengan
memudaratkan sesiapa jua, dengan niat menyebabkan seseorang membuat sesuatu
perjanjian.
Takrif yang diberikan meliputi banyak bentuk paksaan kerana
ia mengaitkan apa-apa kesalahan yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan.
Dalam Kanun Keseksaan terdapat beberapa bentuk jenayah terhadap diri seperti
janayah membunuh, merogol, mencederakan, menculik dan sebagainya. Jika
mana-mana pihak mengugut untuk melakukan perkara-perkara ini jika kontrak tidak
dipersetujui, maka kontrak dianggap tidak sah kerana terdapat unsur paksaan.
Contoh: Salman mahu Ameer membeli rumahnya dengan harga RM300,000.
Salman mengugut bahawa jika Ameer enggan membeli rumah itu, beliau akan dipukul.
Oleh kerana takut dipukul, Ameer membeli rumah tersebut menurut harga yang
kehendaki. Kontrak ini adalah boleh batal kerana terdapat unsur paksaan.
Seksyen 15 menyebut secara khusus tentang bentuk ancaman
iaitu ancaman yang diperuntukkan dalam Kanun Kesiksaan. Sebenarnya Kanun
Kesiksaan bukan satu-satunya undang-undang jenayah. Terdapat jenayah-jenayah
lain yang diperuntukkan dalam undang-undang lain selain daripada Kanun
Kesiksaan seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Polis 1967, Akta Keselamatan
Dalam Negeri 1960 dan lain-lain. Bagi ancaman untuk melakukan sesuatu kekerasan
atau jenayah yang tidak diperuntukkan dalam Kanun Kesiksaan ini pihak plaintif
boleh menggunakan prinsip Common law yang turut terpakai di Malaysia.
Dalam kes Kesarmal a/l Letchuman Das lwn. Valiappa Chettiar
[1954] MLJ 119, satu perjanjian [indahmilik tanah telah dibuat atas titah
Sultan di hasapan dua pegawai Jepun, ketika pendudukan Jepun di TAnah Melayu.
Perjanjian itu dibuat secara paksaan ke atas pihak-pihak berkenaan. Mahkamah
memutuskan bahawa perjanjian itu boleh dibatalkan oleh pihak yang dipaksa
menandatangani perjanjian itu.
3.2 Pengaruh Tidak Wajar
Kontrak yang mempunyai elemen pengaruh tak wajar seperti
yang diperuntukkan oleh seksyen 16 adalah boleh dibatalkan oleh pihak yang
dipengaruhi. Pengaruh tak wajar ini pada asasnya adalah satu bentuk penggunaan
kesempatan oleh seseorang yang dominan ke atas orang yang lebih lemah untuk
mendapat keuntungan secara tidak sah melalui kontrak.
Paksaan lebih menjurus kepada tekanan atau ugutan keras
secara fizikal atau mental ke atas pihak yang berkontrak sedangkan pengaruh tak
wajar tidak memerlukan elemen kekerasan atau tekanan. Selain itu, pengaruh tak
wajar berlaku antara dua pihak yang sudah ada hubungan atau perkaitan di mana
satu pihak adalah lebih dominan ke atas pihak lain. Sedangkan paksaan boleh
wujud antara dua pihak yang baru berkenalan antara satu sama lain. Kewujudan
pengaruh tak wajar hanya dapat dibuktikan jika pihak dominan menggunakan
kedudukan terbabit untuk kepentingan sendiri iaitu dengan membuat kontrak yang
tidak adil seperti membeli dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga
pasaran. Dalam kes paksaan, sesuatu paksaan tetap dikira wujud walau pun
urusniaga itu dibuat berasaskan harga pasaran semasa.
Contoh 1: Guru Yahya seorang ketua ajaran sesat mengarahkan semua
pengikutnya menjual harta-harta mereka kepada beliau dengan nilai 10% dari
harga asal. Azroy salah seorang pengikutnya telah menjual kepada Guru Yahya
bangloonya yang bernilai RM600,000 dengan harga RM60,000. Kontrak ini adalah
boleh batal kerana wujud kedua-dua elemen pengaruh tak berpatutan.
Contoh 2: Seorang doktor memberikan nasihat kepada nasihat kepada
pesakitnya untuk mendapatkan rawatan daripadanya dengan perbelanjaan perubatan
sebanyak RM20,000. Pesakit itu sebenarnya boleh mendapatkan rawatan yang sama
di pusat kesihatan yang setaraf dengan perbelanjaan sebanyak RM3,000 sahaja.
Doktor itu boleh dianggap melakukan pengaruh tak wajar atas pesakitnya.
Dalam kes Inche Noriah lwn. Shaik Alice Omar [1929] AC 127
mahkamah memutuskan bahawa kontrak penjualan tanah adalah boleh batal kerana
wujud pengaruh tak wajar. Dalam kes ini seorang wanita tua dan uzur telah
dijaga dan diurus oleh anak saudaranya. Segala urusan harta, perbelanjaan dan
kewangannya dikendalikan oleh anak saudaranya itu. Wanita itu telah membuat
satu kontrak penjualan tanah kepada anak saudaranya itu dengan harga yang jauh
lebih rendah dari harga pasaran. Mahkamah menganggap bahawa fakta-fakta kes
menunjukkan bahawa wanita tersebut telah dipengaruhi secara tak wajar, maka
kontrak tersebut adalah boleh batal atas pilihan pewaris wanita tersebut.
3.3 Penipuan (Fraud)
Fraud atau penipuan dan salahnyata adalah dua sebab penting
yang menjadikan sesuatu kontrak itu boleh dibatalkan. Di Malaysia istilah fraud
dan salahnyata mempunyai makna yang berbeza walau pun mempunyai beberapa
persamaan. Kedua-duanya adalah kenyataan palsu oleh satu-satu pihak yang
berkontrak. Apabila berdepan dengan kes fraud atau salahnyata, peguam biasanya
cuba untuk mengemukakan kedua-duanya secara bersama. Fraud mempunyai implikasi
yang lebih berat tetapi mempunyai syarat yang lebih ketat. Jika defendan tidak
dapat dikaitkan dengan fraud, mungkin dia boleh dikaitkan dengan salahnyata.
Maksud fraud adalah pernyataan tidak benar berkenaan fakta
yang lepas atau yang sedang berlaku, dan dibuat oleh satu pihak sebelum atau
pada waktu kontrak diikat, dan ditujukan kepada pihak lain yang mempengaruhi
pihak yang lain itu untuk melakukan kontrak. Berasaskan definisi ini kita dapat
fahami bahawa fraud adalah satu bentuk penipuan dengan niat. Pihak yang
melakukan fraud membuat kenyataan palsu dengankan dia tahu bahawa kenyataan itu
tidak benar. Di samping itu, penipuan itu mestilah mempengaruhi pihak lain
untuk berkontrak dengannya. Dengan kata lain, pihak yang berkontrak itu percaya
dengan kenyataan berkenaan. Pernyataan yang berbentuk fraud itu dibuat sebelum
atau semasa kontrak. Kenyataan palsu yang dibuat sebelum kontrak akan dikira
fraud jika selang masa antara waktu kenyataan dan waktu kontrak tidak telalu
lama.
Contoh: Ali menjual motosikal kepada Ahmad dan memaklumkan bahawa
motosikal tersebut tidak pernah terlibat dengan kemalangan. Sebenarnya
motosikal tersebut pernah terlibat dalam tiga kemalangan besar. Ahmad mempercayai
kenyataan Ali dan bersetuju untuk membeli motosikal berkenaan. Ali telah
melakukan fraud dan kontrak itu boleh batal atas pilihan Ahmad.
Dalam seksyen ini, ruang lingkup fraud dikembangkan dengan
maksud yang lebih luas. Segala bentuk penipuan dalam berkontrak boleh dikaitkan
dengan fraud. Bahkan jika sesuatu tindakan itu pada zahirnya bukan fraud,
tetapi terdapat undang-undang yang menganggapnya sebagai fraud, maka ia juga
boleh dikaitkan dengan fraud. Selain itu, menurut perenggan (b) fraud bukan sahaja
boleh berlaku dalam bentuk pernyataan secara lisan atau bertulis tetapi boleh
juga berlaku dalam bentuk perbuatan. Fraud jenis ini dikenali sebagai
menyembunyikan fakta secara aktif.
Kesimpulannya, setiap kontrak
yang mengandungi fraud boleh dibatalkan
oleh pihak yang menerima fakta palsu berdasarkan Seksyen 19. Pihak yang
menerima kenyaatan palsu mempunyai beberapa pilihan. Mereka boleh meminta
samada membatalkan kontrak serta menuntut gantirugi atau meminta gantirugi
sahaja. Mereka juga boleh menuntut untuk mendapat hak pada kedudukan yang
sepatutnya jika kenyataan itu benar.
Menurut seksyen 65, jika kontrak
itu dibatalkan, maka segala faedah yang diperolehi daripada kontrak itu perlu dikembalikan
kepada pihak yang asal. Dalam kebanyakan kes, pihak yang menuntut berhak
mendapatkan gantirugi. Walaubagaimana pun, hak pihak yang membuat tuntutan
tertakluk kepada pengecualian di bawah seksyen 19.
4.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN AKTA
KONTRAK 1950
Akta Kontrak 1950 telah berusia lebih dari lima dekad. Oleh
yang demikian, dalam memastikan akta tersebut selari dengan keperluan semasa
adalah amat penting bagi kerajaan untuk meminda atau menambahbaik akta tersebut
agar sesuai dengan keperluan terkini.
Pada bahagian ini kertas ini akan membincangkan tiga cadangan
yang praktikal dalam menambahbaik Akta Kontrak 1950. Antara perkara-perkara
yang dicadangkan adalah seperti berikut:
4.1 Pemerkasaan Pengguna
Akta ini kurang memberi perlindungan kepada pengguna.
Keadaan ini bertambah berat dengan kemunculan pelbagai bentuk dan cara
berkontrak yang memberi kesan dengan tersebar luasnya penggunaan teknologi
dalam urusan kontrak masa kini. Undang-undang kontrak di Malaysia boleh
dikatakan boleh berfungsi sebagai satu lesen bagi satu-satu pihak untuk
mengeksploitasi kelemahan yang lain
Cadangan agar akta ini dikaji semula terutama mengenai
fungsi Akta Kontrak itu sendiri yang sepatutnya berfungsi sebagai satu platform
untuk memperkembangkan hubungan yang dibina atas dasar kepercayaan dan bukannya
mengesahkan keuntungan jangka pendek. Sepatutnya undang-undang kontak harus
memperkukuh dan membayangkan satu etika kerjasama dan bukannya individualistic
seperti diaplikasikan sekarang ini.
4.2 Kejelasan
Perkara ini telah menimbulkan pelbagai persoalan.
Kepincangan Akta ini jelas kelihatan dalam peruntukannya yang tidak menyentuh
tentang isi kandungan sesebuah kontrak. Kes ini pernah dibangkitkan dalam
penulisan Visu Sinnadurai (1987). Akta ini tidak mempunyai atau mengandungi
apa-apa peruntukan yang menyatakan secara khusus tentang isi kandungan sesuatu
kontrak. Peruntukkan tidak dibuat mengenai pengkelasan terma-terma di dalam
kontrak. Akta ini juga membisu tentang sama ada pihak-pihak adalah secara
tegasnya terikat oleh terma nyata
kontrak atau samada terma tertentu boleh disiratkan. Tiada
peruntukan khusus yang mengawal kandungan atau terma kontrak. Cadangan agar
dipinda dan ditambah satu peruntukan khusus yang mengawal kandungan atau
terma-terma kontrak yang dibuat agar ianya jelas dan memberi keadilan kepada
semua pihak yang sukarela berkontrak.
Cadangan agar akta ini dikaji semula terutama mengenai
fungsi Akta Kontrak itu sendiri yangsepatutnya berfungsi sebagai satu platform
bagi bukannya mengesahkan keuntungan jangka pendek. Sepatutnya undang-undang
kontak harus memperkukuh dan membayangkan satu etika kerjasama dan bukannya
individualistik seperti diaplikasikan sekarang ini.
4.3 Globalisasi
Memang tidak dapat dinafikan undang-undang kontrak Malaysia
kini diganggu gugat oleh tekanan-tekanan globalisasi. Ia memberi kesan yang
besar khususnya dunia perdagangan. Dizaman yang serba canggih, dengan
penaklukan teknologi digital di dunia perdagangan tempatan dan antarabangsa
disertai dengan kecanggihan sistem komputer, telekomunikasi dan teknologi
maklumat, kita melihat satu pasaran elektronik yang baharu dan sedang
berkembang di seluruh dunia.
Undang-undang kontrak amnya, di dalam keadaan sekarang ini,
sebenarnya masih belum bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran yang akan
diharungi. Terutamanya dalam usaha atau memberikan perlindungan dan menjaga
kepentingan pengguna di dalam kontrak. Penggubalan Akta Perdagangan Elektronik
masih belum mencukupi dan tidak mampu menyelesaikan masalah perlindungan yang
diperlukan oleh pengguna siber.
5.0 REMEDI-REMEDI BAGI KEMUNGKIRAN KONTRAK
Dalam menyelesaikan pertelingkahan berkenaan kontrak ataupun dalam erti
kata lain remedi bagi pihak yang tidak bersalah dalam sesebuah kemungkiran
kontrak, terdapat beberapa penyelesaian. Ini adalah kerana sesuatu
kontrak juga boleh tamat melalui pelanggaran atau kemungkiran kontrak iaitu
apabila pihak-pihak yang berkontrak gagal melaksanakan tanggungjawab yang
terkandung di dalam kontrak. Apabila sesuatu pihak enggan melaksanakan atau
tidak membolehkan dirinya melaksanakan keseluruhan kontrak, seksyen 40
memberikan kuasa kepada pihak yang lain untuk menamatkan kontrak. Seksyen itu
menyebut:
Apabila
suatu pihak yang berkontrak enggan melaksanakan, atau tidak membolehkan dirinya
melaksanakan, keseluruhan janjinya, penerima janji boleh menamatkan kontrak
itu, melainkan dia telah menunjukkan, melalui perkataan atau kelakuan,
kepatuhannya secara berterusan.
Pada dasarnya tidak semua pelanggaran kontrak akan
membolehkan pihak yang lain membatalkan kontrak. Hak untuk membatalkan kontrak
timbul apabila pihak yang engkar itu enggan melaksanakan ‘keseluruhan kontrak’
atau terma-terma yang penting kepada kontrak berkenaan.
Terma-terma yang penting ini dirujuk sebagai ‘syarat’ bagi
membezakannya dengan ‘waranti’ yang tidak memberikan hak untuk membatalkan kontrak.
Pelanggaran waranti hanya membolehkan pihak lain menuntut gantirugi sahaja.
Bagi kontrak-kontrak yang tidak membuat perbezaan jelas antara syarat dan
waranti, terpulang kepada mahkamah untuk membuat penilaian samada pelanggaran
sesuatu kontrak itu menimbulkan hak untuk menamatkan kontrak atau tidak.
Peruntukan seksyen diatas juga meletakkan status kontrak
yang mengalami kemungkiran sebagai kontrak boleh batal, bukannya kontrak batal.
Ini bermakna pihak yang menjadi mengsa mempunyai pilihan sama ada mahu
membatalkan kontrak atau meneruskannya. Sehubungan dengan itu, kontrak yang
dimungkiri di bawah seksyen 40 adalah tertakluk kepada seksyen 65 berkaitan
dengan perkembalian dalam kes kontrak boleh batal. Walau bagaimana pun, ia juga
tertakluk kepada remedi gantirugi di bawah seksyen 74 serta remedi lain seperti
pelaksanaan spesifik dan injunksi.
Selain itu, terdapat juga beberapa jenis remedi atau penyelesaian
melalui saluran undang-undang bagi mengatasi kerugian atau kehilangan yang
dihadapi oleh seseorang. Remedi diberikan apabila berlaku kemungkiran atau
pelanggaran kontrak.
Pihak yang menjadi mangsa kepada kemungkiran kontrak boleh
memohon mana-mana satu atau lebih remedi berikut:
5.1 Gantirugi
Gantirugi adalah pampasan dalam bentuk wang berdasarkan
seksyen 74 hingga 76. Pampasan ini diberikan diberikan oleh pihak yang pecah
kontrak kepada pihak yang lain. Seksyen 74 membuat peraturan berkaitan
penentuan jumlah gantirugi yang layak dimohon apabila berlaku pecah kontrak.
Terdapat beberapa istilah gantirugi yang digunakan
antaranya:
a)
Gantirugi khas iaitu gantirugi yang ditunjukkan
pengiraannya secara terperinci daripada kehilangan yang berlaku
b)
Gantirugi am iaitu gantirugi yang dituntut tanpa
menunjukkan pengiraan.
c)
Gantirugi nominal iaitu gantirugi yang diberikan kepada
pihak yang berjaya membuktikan haknya tetapi tidak dapat menunjukkan kerugian
sebenar. Gantirugi ini diberikan dalam jumlah yang kecil
d)
Gantirugi banyak iaitu pampasan yang dalam jumlah yang
besar pada jumlah yang sepatutnya diperolehi oleh pihak berkenaan jika kontrak
itu dipatuhi.
e)
Gantirugi teladan iaitu jumlah pampasan yang amat besar
jauh melebihi kerugian sebenar yang ditanggung. Gantirugi jenis ini dibuat bagi
kesalahan jenayah yang disertai dengan elemen moral seperti ketidakjujuran,
menjatuhkan maruah seseorang atau seumpamanya.
5.2 Pelaksanaan Spesifik
Pelaksanaan spesifik adalah arahan mahkamah supaya kontrak
itu dilaksanakan secara tertentu sebagaimana yang dipersetujui dalam terma
kontrak. Pelaksanaan spesifik berdasarkan Akta Pemulihan Spesifik 1950. Arahan
ini boleh dibuat samada bersama-sama gantirugi atau tanpa gantirugi.
Contoh: Ahmad membuat kontrak membeli satu lukisan oleh seorang
pelukis terkenal dari Daud. Daud melakukan pecah kontrak kerana menjual lukisan
itu kepada pihak lain. Ahmad berhak menuntut pelaksanaan spesifik agar mahkamah
mengarahkan lukisan itu dijual kepadanya.
5.3 Injunksi
Injunksi adalah arahan mahkamah bagi melarang pihak yang
berkontrak dari melakukan sesuatu. Dalam konteks kes kontrak ia adalah arahan
supaya terma kontrak yang berbentuk negatif dikuatkuasakan. Terma berbentuk
negatif adalah terma yang melarang pihak-pihak yang berkontrak daripada
melakukan sesuatu.
Contoh: Kamal Azeer adalah seorang penyanyi yang membuat kontrak
dengan Syarikat BCX sebuah syarikat rakaman. Terdapat terma yang melarang Kamal
Azeer membuat rakaman dengan syarikat rakaman yang lain. Apabila Kamal Azeer
membuat rakaman dengan syarikat yang lain, Syarikat BCX boleh menuntut injunksi
dari mahkamah agar Kamal Azeer dicegah dari membuat rakaman tersebut.
Injunksi boleh diberikan sama ada secara sementara atau
secara berkekalan. Injunksi sementara berkuatkuasa sementara mahkamah membuat
keputusan yang muktamad dalam sesuatu kes. Ia diberikan bagi mengelakkan
perubahan status quo sepanjang tempoh perbicaraan sesuatu kes. Injunksi
berkekalan pula hanya diberikan selepas mahkamah mendengar hujah daripada
kedua-dua pihak dan berpuashati dengan keperluannya. Kesannya adalah berkekalan
sehingga tamat ikatan kontrak.
6.0 KESIMPULAN
Akta Kontrak 1950 pada asasnya berperan melindungi pengguna dalam urusan
perdagangan dan urus niaga lain dalam kehidupan seharian. Terdapat tujuh elemen
utama yang menjadi asas kepada sesebuah kontrak yang sah dan boleh
berkuatkuasa. Ini termasuklah tawaran, penerimaa, balasan, keupayaan, niat, kepastian,
dan kerelaan.
Perkembangan dalam globalisasi dan urusniaga memaparkan kekurangan yang
terdapat di dalam Akta Kontrak 1950. Oleh yang demikian, usaha dan cadangan
penambahbaikan perlu dilaksana dari masa ke semasa. Ini termasuklah melakukan
kajian dan semakan semasa terhadap kes-kes lampau yang berkaitan dengan akta
ini secara langsung, perbahasan dan sumbang saran daripada tenaga akademik dan
ahli perundangan, serta sikap proaktif dan kebertanggungjawab para menteri dalam
menggubal dan menguatkuasakan pindaan dan seksyen serta peruntukan baru dalam
Akta Kontrak 1950.
(3827 PATAH PERKATAAN)
RUJUKAN
Andrew
Phang Boon Leong (1994). Cheshire, Fifoot
and Furmston’s Law of Contract. Butterworth Asia.
Lam, S. H. (1996). Commercial Law. Kuala Lumpur, Malaysia: International Law Book
Services.
Lee M. P., Ivan J. D. (2009). Business Law. Oxford University Press.
Nik
Ramlah Mahmood (1993). Unfair Terms in Malaysian Consumer Contracts – The Need
for Increased Judicial Creativity. Asian
Seminar on Consumer Law, Kuala Lumpur, 9-12 August 1993.
Shaik Mohd Noor
Alam. (2000). Undang-undang Komersil
Malaysia. Kuala Lumpur: Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Ahmad
Alsagoff. (1996). Principles of the Law
of Contract in Malaysia. Kuala Lumpur, Malaysia: Malayan Law Journal.
Wan Arfah Hamza
& Ramy Bulan. (2003). An Introduction
to the Malaysian Legal System. Kuala Lumpur, Malaysia: Penerbit Fajar
Bakti.