SEJARAH ASIA
Asal Usul Masyarakat Jawa
ISI KANDUNGAN
1.0 PENGENALAN 3
2.0 ASAL USUL MASYARAKAT JAWA 4
3.0 STRUKTUR MASYARAKAT JAWA 5
4.0 KONSEP KEPERCAYAAN MASYARAKAT JAWA KUNO 5
5.0 AMALAN DAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT JAWA
SEBELUM KEDATANGAN ISLAM 8
6.0 KESIMPULAN 11
7.0 RUJUKAN 12
1.0 PENGENALAN
Sebelum
Islam sampai ke tanah Jawa, majoriti masyarakat Jawa menganut kepercayaan
aninisme dan dinamisme. Ini termasuklah kepercayaan-kepercayaan yang mempunyai
hubungan atau unsur-unsur budaya Hindu dan Buddha dari India. Selain dari itu
masyarakat Jawa kuno banyak mempercayai unsur-unsur mistik dalam kehidupan yang
kadangkala menyimpan misteri alam yang sangat kompleks. Linton dalam Krisanto (2015),
membuat hipotesis bahawa orang nusantara pada zaman prasejarah sudah mempunyai
sistem kepercayaan kepada kuasa-kuasa luar biasa dan animisme, makhluk alam
ghaib yang kononnya menguasai alam semesta. Dari segi amalan agama pula,
menurut catatan Saptono, (2012), penduduk Jawa Barat menyembah berhala dan
menganut agama hindu dari aliran Brahmaisme,
Saivaisme dan Visyanisme. Ianya bermula pada tahun 420 masihi dimana seorang raja
dari Kashmir, India bernama Gunaarman telah mengunjung alam melayu untuk
menyebarkan agama Budha.
Namun
begitu, pada abad ke 13 masihi, Islam mula tersebar di alam melayu dan mula
mempengaruhi masyarakat Jawa. Islam tiba di Pasai sekitar tahun 1297 masihi dan
di Terengganu pada 1303 masihi (Hasbullah, 2009). Dengan kedatangan semua
pengaruh asing ini perkembangan dalam masyarakat telah berlaku, begitu juga dengan
masyarakat jawa. Perkembangan ini meliputi bidang ekonomi, politik,
kepercayaan, adat istiadat, undang-undang, kesusasteraan dan kesenian.
Oleh
itu, makalah ini ditulis bagi membincangkan tentang kepercayaan-kepercayaan
masyarakat Jawa sebelum dipengaruhi agama Islam. Ini termasuklah dari segi
kehidupan seharian dan juga amalan agama mereka sebelum pengaruh Islam. Makalah
ini juga akan mengupas asal usul kepercayaan-kepercayaan masyarakat jawa dengan
meneliti susur galur masyarakat ini dari sudut ethnografi dan juga sejarah
mereka disamping membincangkan amalan-amalan masyarakat ini sebelum kedatangan
Islam di kepulauan tersebut.
2.0 ASAL
USUL MASYARAKAT JAWA
Menurut
pendapat beberapa ahli arkeologi, masyarakat Jawa dikatakan telah berada di
kepulauan Jawa sejak satu juta tahun yang lepas. Berdasarkan dari bukti-bukti
arkeologi, ahli-ahli arkeologi ini telah menemukan beberapa rangka tulang
manusia Pithecanthropus Erectus[1]
dan Homo sapiens yang dikatakan mempunyai
persamaan dengan manusia purba yang menjadi nenek moyang masyarakat jawa.
Kesimpulan ini dibuat berdasarkan ujian DNA yang dilakukan keatas rangka tulang
tersebut.
Namun
begitu, terdapat juga pendapat lain tentang asal usul orang jawa di tanah Jawa.
Menurut satu tulisan kuno di India, ada menyebut beberapa pulau di Nusantara
termasuk Nusa Kendang pada awalnya adalah satu tanah yang tergabung dengan
Daratan Asia dan Australia. Pulau Jawa dan beberapa pulau lainnya kemudian
terpisah oleh meningkatnya permukaan air laut dalam jangka waktu yang lama.
Dalam tulisan tersebut juga ada menyebut tentang seorang pengembara yang
bernama Aji Saka[2]
yang pertama kali menjejakkan di Tanah Jawa. Aji Saka menetap di kawasan
tersebut bersama beberapa orang pengawalnya yang dikatakan menjadi nenek moyang
masyarakat Jawa di Tanah Jawa (Ismawati, 2005).
3.0 STRUKTUR
MASYARAKAT JAWA
Menurut
Clifford (1983) masyarakat Jawa asli di dikelaskan kepada tiga kelas utama
iaitu abangan, santri dan priyayi.
Kehidupan mereka diketuai oleh seorang ketua. Ketua memainkan peranan yang
penting dalam menjalani kehidupan demi menjamin kerukunan masyarakat Jawa.
Ketiga-tiga
varian ini diringkaskan seperti berikut: Abangan
yang mewakili sikap menekankan aspek yang lebih luas tentang animisme
sinkretisme Jawa, dan secara luas berkaitan dengan unsur-unsur petani di
kalangan penduduk; Para santri yang
mewakili sikap menekankan aspek-aspek agama dalam sinkretisme, secara amnya dikaitkan
dengan unsur saudagar (serta unsur-unsur tertentu di kalangan petani); dan
Priyayi yang sikapnya berfokus pada aspek Hindu dan berkaitan dengan
unsur-unsur birokrasi.
Namun
begitu, Menurut Harsja W. Bachtiar, pembahagian tersebut dilihat kurang tepat, kerana
klasifikasi abangan dan santri selalu dikaitkan dengan tingkah
laku masyarakat. Seorang santri lebih
bersifat keagamaan daripada seorang abangan,
sedangkan ukuran ketaatan bergantung pada nilai-nilai peribadi mereka yang
menggunakan istilah tersebut. Begitu juga istilah priyayi tidak boleh dianggap sebagai kategori klasifikasi yang
sama, kerana ada orang priyayi yang
taat kepada agama, dan sebab itulah mereka dipanggil santri, dan ada orang prijaji
yang tidak taat atau tidak memperhatikan urusan agama, dan oleh itu ia
dipanggil abangan. Istilah priyayi biasanya disediakan untuk
orang-orang yang mempunyai status sosial tertentu yang berbeza dengan orang
biasa yang disebut orang cilik, orang widah, dan orang tani.
Namun
begitu, selepas kedatangan Islam di kepulauan tersebut, struktur masyarakat
jawa telah berubah mengikut acuan Islam. Ketua masyarakat Jawa ialah Lurah dan
Kiai. Lurah merupakan penghulu dalam masyarakat Jawa. Ia mempunyai
tanggungjawab dan memikul amanah yang besar bagi memastikan keselesaan penduduk
kampung. Lazimnya pemilihan Lurah adalah berdasarkan kebolehan, pengalaman,
keturunan dan pengetahuan dalam agama. Jawatan Lurah kebiasaannya akan
disandang selagi diterima oleh penduduk kampung. Jawatan Lurah akan dibantu
oleh beberapa orang pembantu untuk memudahkan urusan pentadbiran. Selain
menjaga keselamatan kampung, Lurah menjadi ketua ketika aktiviti gotong-royong
dan aktiviti kemasyarakatan yang lain.
4.0 KONSEP
KEPERCAYAAN MASYARAKAT JAWA KUNO
Kepercayaan
adalah berasal dari kata asal ‘percaya’ bermaksud gerak hati dalam menerima
seusuatu yang logik dan bukan logik tanpa suatu beban atau keraguan sama sekali
kepercayaan tersebut bersifat murni. Kepercayaan mempunyai maksud yang hampir
sama dengan keyakinan dan agama namun mempunyai definisi yang sangat luas.
Sebelum
kedatangan Islam ke Tanah Jawa, kepercayaan Hindu, Buddha, dan kepercayaan kuno
yang berdasarkan kepercayaan Animisme dan Dinamisme telah menjadi kepercayaan
masyarakat jawa (Jamil, 2002). Namun begitu, ajaran agama Hindu seperti
kepercayaan tentang kewujudan para dewa, kitab-kitab suci, orang-orang suci,
roh-roh jahat, lingkaran penderitaan, hukum karma dan hidup bahagia abadi
menjadi kepercayaan majoriti masyarakat Jawa pada waktu tersebut. Agama Buddha
pula mempunyai pengaruh dari sudut empat kepercayaan iaitu Kasunyatan dan juga percaya kepada Tuhan yang yang dinamakan Sang
Hyang Adi Buddha (Hadiwijoyo, 1994).
Perbincangan
tentang kepercayaan-kepercayaan orang jawa sangatlah luas dan meliputi berbagai
aspek yang bersifat mistik atau ghaib yang jauh dari jangkauan kekuatan dan
kekuasaan normal. Ini adalah kerana walaupun sebelum kedatangan agama-agama
lain, masyarakat jawa sudah mula mempunyai kepercayaan wujudnya tuhan yang maha
esa dengan berbagai sebutan diantaranya adalah 'gusti kang murbeng dumadi' atau tuhan yang maha kuasa yang dalam
seluruh proses kehidupan masyarakat jawa pada waktu itu sering berorientasikan
pada tuhan yang satu. Oleh itu, masyarakat jawa telah terdedah, kenal dan
mengamalkan konsep ketuhanan ribuan tahun sebelum kedatangan agama-agama lain (Shodiq,
2013).
Menurut
Simuh (1988), masyarakat jawa percaya bahawa Tuhan adalah pusat alam semesta
dan pusat segala kehidupan kerana bagi mereka sebelum kewujudan alam, tuhan
telah sedia wujud. Pusat yang dimaksudkan dalam kepercayaan mereka adalah satu
kuasa yang memberikan kehidupan, keseimbangan, dan kestabilan yang menjadikan
dunia berfungsi. Kepercayaan tersebut dikenal sebagai Kawula Lan Gusti, iaitu pandangan yang menggangap bahawa kewajipan
moral manusia adalah untuk mencapai harmoni dengan kesatuan terakhir dan pada
kesatuan terakhir itulah manusia menyerahkan diri secara total selaku kawula (hamba) terhadap Gustinya (Sang Pencipta).
Menurut
masyarakat itu lagi, pandangan hidup merupakan satu abstrak dari pengalaman
hidup. Pandangan hidup adalah satu pengaturan mental dari pengalaman hidup yang
seterusnya mengembangkan suatu sikap terhadap kehidupan. Ciri pandangan hidup
masyarakat jawa adalah realiti yang mengarah kepada pembentukan kesatuan
numinus antara alam nyata, masyarakat, dan alam ghaib yang dianggap keramat.
Masyarakat percaya yang kehidupan mereka telah ditetapkan dan tugas mereka
adalah menjalani kehidupan tersebut.
Asas
kepercayaan masyarakat jawa adalah satu bentuk keyakinan bahawa segala sesuatu
yang ada di dunia ini pada hakikatnya adalah merupakan kesatuan hidup. Mereka
memandang kehidupan manusia selalu terpaut erat dalam kosmos alam semesta.
Dengan demikian kehidupan manusia merupakan suatu perjalanan yang penuh dengan
pengalaman-pengalaman yang spiritual. Pada masyarakat jawa, pandangan ini
merumuskan kehidupan manusia berada dalam dua alam iaitu makrokosmos dan
mikrokosmos. Makrokosmos dalam fikiran masyarakat hidup terhadap alam semesta
yang mengandungi kekuatan supernatural dan penuh dengan hal-hal yang bersifat
misteri. Mikrokosmos pula adalah sikap dan pandangan hidup terhadap realiti.
Tujuan utama dalam hidup adalah mencari serta menciptakan keselarasan atau
keseimbangan antara kehidupan makrokosmos dan mikrokosmos.
Dalam
makrokosmos pusat alam semesta adalah Tuhan. Alam semesta mempunyai hirarki
yang dikahskan dengan adanya jenjang alam kehidupan masyarakat Jawa dan adanya
perkembangan dunia yang semakin sempurna (dunia atas-dunia manusia-dunia
bawah). Alam semesta terdiri dari empat arah utama ditambah satu pusat iaitu
Tuhan yang mempersatukan dan memberi keseimbangan. Sikap dan pandangan tehadap
dunia nyata (mikrokosmos) adalah tercermin pada kehidupan manusia dengan
lingkungannya, susunan manusia dalam masyarakat, tata kehidupan manusia
sehari-hari dan segala sesuatu yang nampak oleh mata. Dalam mengahdapi
kehidupan manusia yang baik dan benar didunia ini tergantung pada kekuatan
batin dan jiwanya.
5.0 AMALAN DAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT JAWA
SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Masyarakat
jawa sebelum kedatangan Islam mempunyai pegangan kuat terhadap amalan animisme
dan dinamisme. Mereka mempunyai kepercayaan yang kuat kepada kuasa-kuasa ghaib
atau semangat-semangat yang mendiami alam. Ia berkaitan kepercayaan terhadap
makhluk halus dan semangat sesuatu tempat. Mereka mempercayai sesuatu tempat
menjadi kediaman makhluk halus sehingga ada yang menganggap tempat itu keramat.
Terdapat
juga masyarakat Jawa yang mempercayai tentang semangat di tempat yang baru.
Sekiranya semangat tersebut hilang atau diganggu gugat seperti membersihkan
kawasan, dipercayai akan menyebabkanseseorang itu mendapat penyakit. Oleh itu,
mereka perlu membuat beberapa semahan atau menjamu dengan bertih supaya
semangat tersebut pulih seperti sedia kala.
Selain
itu, masyarakat Jawa juga mempercayai beberapa objek yang mempunyai kuasa
seperti busut, batu-batu besar atau pokok-pokok besar. Kuasa ini dikatakan
mampu memberi kesan kepada mereka yang mengusik atau melakukan perkara yang
tidak senonoh kepada objek tersebut. Justeru itulah ramai dalam kalangan
tersebut mengambil peluang dengan menjadikan busut, batu atau pokok besar
sebagai objek pujaan.
Di
samping itu, bagi masyarakat Jawa, mereka mempercayai pelbagai jenis roh yang
tidak kelihatan yang dapat menimbulkan bahaya seperti kecelakaan atau penyakit.
Untuk melindungi semuanya itu, mereka memberi upah yang terdiri dari nasi dan
aneka makanan, daun-daun bunga serta kemenyan.
Pelaksanaan
upacara dilaksanakan oleh masyarakat jawa agar keluarga mereka terhindar dari
roh jahat. Mereka meminta berkat pada roh, dan meminta roh jahat agar tidak mengganggu.
Mereka membuat beberapa monumen yang diperbuat dari batu besar sebagai
tempat-tempat pemujaan untuk memuja nenek moyang serta untuk menghalau hantu
yang jahat. Mereka yang pernah hidup pada masa sebelumnya dianggap banyak jasa
dan juga pengalamannya sehingga perlu dimintai berkat dan petunjuk. Cara yang digunakan
untuk memuja roh nenek moyang adalah dengan mengundang orang yang sakti dan
ahli dalam bidang tersebut, yang di sebut perewangan, untuk memimpin acara.
Mereka juga membuat patung nenek moyang agar arwah roh nenek moyang masuk dalam
patung tersebut dengan bantuan dan upaya perewangan tersebut. Sebagai kelengkapan
upacara tersebut mereka menyiapkan sesaji dan membakar kemenyan atau bau-bauan
lainnya yang digemari oleh nenek moyang. Mereka menyempurnakan acara tersebut
dengan tari-tarian dan bunyi-bunyaian agar roh nenek moyang yang dipuja menjadi
gembira dan berkenan memberi berkat kepada keluarganya. Amalan upacara
keagamaan seperti yang diterangkan di atas masih dapat diamalkan dalam kehidupan
masyarakat jawa sekarang. Namun, upacara tersebut telah berubah fungsinya
menjadi kesenian rakyat tradisional. Seperti sintren, nini thowok, barongan,
tari topeng dan pertunjukan wayang.
Masyarakat
jawa mempercayai bahawa apa yang telah mereka amalkan adalah hasil dari
adaptasi hubungan dengan alam. Kekuatan alam didasari merupakan penentuan dari
kehidupan seluruhnya. Sebagai contoh, keberhasilan pertanian bergantung kepada kekuatan
alam, matahari, hujan, angin, dan hama, dan mereka juga mempercayai kekuatan ghaib
di sebalik semua itu. Oleh itu, sebagai sisa peninggalan masa lalu adalah
melakukan tindakan keagamaan dengan berusaha untuk menambah kekuatan batin agar
dapat mempengaruhi alam semesta atau jagad
gede. Hal ini dilaksanakan agar semua kekuatan alam yang akan mempengaruhi
kehidupan diri dan keluarga dapat dikalahkan.
Usaha
ini ditempuh dengan cara perlakuan prihatin atau merasakan kesengsaraan batin dengan
cara cegah dahar lawan guling (mencegah
makan dan mengurangi tidur), mutih
(hanya makan makanan yang serba putih seperti nasi putih, minuman air atau air
tawar), ngasrep (hanya makan makanan
dan minum-minuman yang rasanya tawar atau tanpa gula dan garam), dan berpuasa
pada hari-hari wetonan atau hari
lahir. Usaha yang berat adalah melakukan pati
geni iaitu, tidak makan, tidak minum, dan tidak melihat sinar apapun selama
empat puluh hari empat puluh malam. Usaha untuk menambah kekuatan batin itu
sendiri dilakukan dengan cara menggunakan benda-benda bertuah atau berkekuatan
gaib yang disebut jimat, yakni berupa
keris, tombak, songsong jene, batu akik, atau apa-apa objek lain. Amalan
kepercayaan tersebut adalah peninggalan dari kepercayaan dinamisme.
6.0 KESIMPULAN
Sebelum
kedatangan Islam di Tanah Jawa, masyarakat Jawa sudahpun mempunyai kepercayaan
kuno yang terbentuk dari unsur-unsur agama Hindu dan Buddha. Namun begitu,
konsep keagamaan atau ketuhanan di kalangan masyarakat Jawa boleh dikesan
ribuan tahun sebelum lagi dimana konsep ketuhanan masyarakat Jawa diamalkan
secara majoriti. Oleh itu, masyarakat jawa telah terdedah, kenal dan
mengamalkan konsep ketuhanan ribuan tahun sebelum kedatangan agama-agama lain.
Pengaruh-pengaruh
dari agama ini memberi kesan kepada kepercayaan masyarakat jawa seperti kepercayaan
Animisme dan Dinamisme iaitu sistem kepercayaan kepada kuasa-kuasa luar biasa
(dinamisme) dan makhluk alam ghaib yang kononnya menguasai alam semesta
(animisme).
Sungguhpun
demikian, amalan dan kepercayaan animism dan dinamisme ini semakin hilang
ditelan zaman kerana Islam menegaskan amalan ini dianggap sebagai perbuatan
syirik dan bertentangan dengan agama. Kedatangan Islam di tanah Jawa
menyebabkan beberapa kepercayaan ini ditinggalkan atau digabungkan dengan
ajaran Islam.
7.0 RUJUKAN
Geertz,
Clifford (1983). Abangan, Santri, Priyayi
Dalam Masyarakat Jawa. Jakarta: Pustaka Jaya.
Hadiwijoyo
(1994). Agama Hindu dan Budha,
Jakarta: Gunung Mulia
Hasbullah.
(2009). Islam dan Tamadun Melayu.
Riau: Daulat Riau.
Ismawati.
(2005). Keilmuan Islam di Pesisir Utara Jawa Abad ke 15-17. Makalah Stadium General IAIN Walisongo
Semarang.
Kistanto,
N. H. (2015). Tentang Konsep Kebudayaan. Sabda: Jurnal Kajian Kebudayaan, 10(2).
Jamil,
Abdul (2002). Islam Dan Kebudayaan Jawa.
Yogyakarta: Gama Media
Saptono,
N. N. (2012). Penelitian Puncak-Puncak Peradaban di Pantai Utara Jawa Barat dan
Proses Perjalanan Masyarakat Hindu. KALPATARU,
21(1), 30-38.
Shodiq
(2013). Potret Islam Jawa. Semarang:
PT. Pustaka Rizki Putra.
Simuh
(1988). Mistik Islam Kejawen Raden
Ngabehi Ranggawarsita. Jakarta: UI Press.
[1]
Pithecanthropus erectus
adalah nama saintifik yang diberikan kepada fosil manusia awal yang ditemui di
pulau Jawa (Indonesia) pada tahun 1891 dan 1892. Ekspedisi penggalian tersebut
diketuai oleh Eugène Dubois yang menemukan gigi, tengkorak dan tulang paha di
tebing Sungai Solo di Jawa Timur. Fosil ini juga popular dengan nama Java Man.
[2] Aji Saka adalah legenda Jawa yang
mengisahkan tentang kedatangan peradaban ke tanah Jawa yang dibawa oleh seorang
raja bernama Aji Saka. Kisah ini juga menceritakan mengenai mitos asal usul Orang
Jawa di tanah Jawa.